Tak kira apa pun yang kita lakukan, kita tidak akan pernah dapat memuaskan hati semua pihak. Ada saja yang kita lakukan akan melukakan hati orang di sekeliling kita. Tapi, memang itu lah kehidupan. Kita hanya diberi dua pilihan iaitu di sakiti atau menyakiti. Agak jarang kita mendapat peluang untuk memuaskan hati orang lain termasuklah hati kita sendiri. Kalau adapun, boleh di hitung dengan jari jumlahnya. Banyak orang mengeluh mengatakan hidup ini tidak adil, tapi pastikah kita yang hidup ini tidak adil ataupun kita terlalu tamak dalam meneruskan kehidupan.
Kadang-kadang akan terlintas di hati, kenapa aku yang harus menderita, kenapa aku yang harus hidup susah, kenapa aku yang mesti kalah dan banyak lagi persoalan kenapa aku yang berlegar di minda kita. Kita seolah-olah lupa akan nikmat, kesenangan dan kebebasan yang kita pernah lalui sebelum ini. Kita sering nampak yang buruk dan negative tetapi seolah-olah lupa akan akan semua perkara positif. Kita juga sering menginginkan bantuan yang diberikan, pujian yang diberikan haruslah di balas dengan setimpal. Memang, memang kita membantu dengan ikhlas, memuji dengan ikhlas tetapi tetap juga sekecil zarah kita mengharapkan balasan. Walau hanya semudah ucapan ‘TERIMA KASIH’, itu sudah mencukupi. Tetapi, walaubagaimanapun tetap ada segelintir manusia yang berat mulut untuk mengucapkan ‘TERIMA KASIH’ setelah dibantu. Adilkah itu?
Kita sering merasa kasihan melihat nasib mereka yang berada di sekeliling kita tapi pernahkah mereka yang berada di sekeliling kita mengasihani kita? Sedarkah kita, itu semua tidak penting. Kita seharusnya bersyukur dan berbangga kerana kita masih memiliki perasaan kasihan. Tidak ramai orang di masa kini yang masih memiliki perasaan belas kasihan sesama insan. Yang ada hanyalah perasaan tamak, perasaan pentingkan diri dan segala jenis perasaan yang tidak memiliki nilai kekitaan. Mereka di zaman ini hanya memiliki sifat ingin berjaya tanpa memikirkan perasaan orang lain. Tapi itu lah kehidupan. Yang miskin bertambah miskin dan yang kaya bertambah kaya!
Jangan sekali-kali kita nafikan yang diri kita sendiri (termasuk aku) memiliki perasaan ego yang melampau. Di tegur melenting, seolah-olah kita saja yang betul orang lain salah. Bagi kita, orang lain tidak sebijak kita hanya kerana kita belajar di Sekolah elit, duduk di kelas terpandai, sering mendapat anugerah dekan, dan sering di puji orang sekeliling. Kita seoalah-olah lupa, sepandai mana pun kita, sebijak mana pun kita andai tiada perasaan hormatkan orang lain, perasaan perikemanusiaan yang menghiasi diri, pegangan agama yang menjadi perisai diri, tetap tiada gunanya kita hidup di dunia ini. Kita hidup di dunia ini bukan hanya bergantung terhadap kepintaran semata-mata.
Kita juga bertuah kerana kita hidup di negara yang harmoni, yang berbilang bangsa, kaum dan agama. Kita bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Lantas, dari mana datang timbulnya isu ‘agama aku lebih baik, agama kau salah, kau orang kafir dan sebagainya yang tidak enak di dengar’. Sungguh kesian orang yang masih berfikiran sempit seperti ini. Bukankah semua agama mengajar kita untuk menghormati sesama sendiri, mengajar kita berbuat baik. Adakah mana-mana agama d dunia ini yang mengatakan berzina itu benar, membunuh itu bagus, mencuri itu betul? Tiada bukan. Jadi, apa hak kita untuk merendah-rendahkan kepercayaan orang lain. Selagi mereka tidak melanggar norma-norma kemanusiaan, selagi mereka tidak mencuba memaksa kita mempercayai agama mereka, kita tidak berhak mempertikaikan kepercayaan mereka. Jangan biarkan pemikiran sempit kita merosakkan keharmonian negara ini. Jangan tambahkan pandangan negatif orang luar terhadap negara kita. Cukup-cukup lah hanya kita yang berfikiran sesempit ini..jangan biarkan anak-anak kita turut berfikiran seperti ini. Beri mereka peluang untuk merasai keharmonian negara kita.